Freezing The Moment by Mohd Akhir Ahmad : The Star, Wednesday, 10 July 2013 page 10 & 11.
Apabila waktu dibekukan
FREEZING The Moment merupakan sebuah pameran solo pelukis muda yang mempunyai fikiran terbuka, berinovatif dan mempunyai daya kreativiti yang mendalam.
Dengan menggunakan teknik catan warna monokromatik, pelukis muda berbakat besar, Mohd. Akhir Ahmad cuba untuk menggambarkan seolah-olah waktu itu boleh dibekukan untuk memberikan fokus kepada sesuatu kejadian.
Baginya, fokus kepada sesuatu kejadian merupakan perkara yang paling penting daripada perkara tersebut terus bergerak tanpa arah tuju yang sebenar.
Kebanyakan catannya diinspirasi daripada cerpen yang ditulis oleh penulis terkenal Perancis, Guy de Maupasant melalui cerpen terkenalnya, The Necklace.
Pada catan yang bertajuk The Girl with Pearl Earring I misalnya, pelukis cuba untuk memaparkan seorang wanita yang sedang duduk di kerusi, mungkin sedang menunggu seseorang atau sedang beraksi di depan kamera.
Kita dapat perhatikan sebelah telinganya tidak bersubang dan ada sebentuk subang kelihatan berada di atas permaidani di hadapannya.
Persoalannya di sini adakah subang itu miliknya, Jika ya, adakah dia menyedari tentang hal itu?
Melalui setiap catan yang dipaparkan, kita dapat perhatikan akan ada sebentuk subang yang terselit di atas permaidani, celahan selimut dan bawah katil.
Subjek subang yang digunakan untuk setiap catan ini mungkin memberikan satu petunjuk bahawa kadang-kadang sesuatu perkara yang kecil tetapi berharga itu mudah dilupakan oleh manusia.
Ketidaktelitian pada sesuatu perkara disebabkan kegopohan kita juga membawa kepada kehilangan perkara yang kita sayangi dan akibatnya akan membawa kemudaratan kepada diri kita.
Dalam perjalanan memulakan kehidupannya sebagai seorang seniman, Mohd. Akhir boleh dikatakan antara pengkarya generasi baru yang mempunyai daya kreativiti yang menjangkau usianya.
Keadaan ini disebabkan oleh minatnya yang cukup kuat dalam bidang seni dan suka membaca.
Melalui membaca, Mohd. Akhir berpeluang untuk menambah pengetahuan yang diselitkan dalam kebanyakan karyanya.
Olahannya dalam setiap catannya menunjukkan lukisannya mempunyai kekuatan, ketelitian dan perlambangan tersendiri.
Jadi tidak hairanlah sekiranya karya Mohd. Akhir mempunyai daya tarikannya tersendiri dan nilai melalui pembacaan diolah sebaik mungkin oleh seniman hebat ini.
Pameran yang dianjurkan oleh RA Fine Arts - The Gallery ini akan berlangsung dari 3 hingga 24 Julai ini dengan Azzad Diah dipilih sebagai penulis jemputan.
Sebanyak 10 karya Akhir dipamerkan dalam pameran ini dibuka pada hari Selasa hingga Sabtu (11 pagi - 7 petang) dan Ahad (12 tengah hari - 5 petang).
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd