Saturday, January 21, 2012

Galeri: Young Art Exhibition
Oleh Latifah Arifin
latifah@bharian.com.my
2012/01/20


Daya kreativiti luar biasa 19 bakat baru


KEBERANIAN 19 pelukis muda mencetus pembaharuan dan bereksperimen dalam berkarya begitu terserlah tatkala melihat satu persatu lukisan yang dipamer di Young Art Exhibition, RA Fine Arts Gallery, Kuala Lumpur, yang menghimpunkan lebih 30 karya pelapis kepada pelukis mapan tanah air.


Sambutan menggalakkan dan pujian pengunjung terhadap hasil lukisan meskipun tidak memiliki tema khusus itu, menjadi pemangkin semangat buat Pengarah RA Fine Arts Gallery, Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah untuk terus mencungkil dan memperhebat usaha mengetengahkan bakat baru yang penuh dengan daya kreativiti luar biasa.


Menariknya, barisan pengkarya muda itu cukup bijak menggabungkan pelbagai bahan tara dan teknik berbeza dalam lukisan mereka, umpamanya pelajar semester 5 jurusan Seni Halus, Universiti Sains Malaysia (USM), Siti Nur Balqis Abdul Halim yang menyelitkan teknik kolaj dalam karyanya My Reverie Dwelling.



“Karya ini menterjemah naluri remaja yang mendambakan dunia aktif dan cantuman kolaj serta penggunaan warna terang pula ditambah bagi menimbulkan kesan realistik pada lukisan berkenaan,” katanya kepada Galeri baru-baru ini.



Sementara itu, pelukis, Mohd Shahrizan Mohd Sidik pula memilih mesej berat mengenai gejala berjudi di kalangan orang Melayu menerusi karyanya Royal to The Game.



Walaupun tampak ringkas, idea bernas Mohd Shahrizan yang menyelitkan imej nombor dalam keadaan samar sebagai latar di atas lakaran wajah lelaki yang ditampilkan bersebelahan dengan daun terup, berupaya menggambarkan judi yang mengubah dan memesongkan manusia yang ketagih itu. 
Karya Amir Firdaus Ahamed Tarmizi, Festival Merdeka Kontingen Bayi dengan menggunakan medium cat minyak di atas kanvas juga pasti mencuit hati pengunjung kerana menggambarkan bayi berhimpun dalam perarakan kemerdekaan dalam keadaan meriah.



“Tanggungjawab sosial sebagai remaja dalam menangani masalah pembuangan, penderaan dan penganiayaan bayi mencetus ilham bagi menghasilkan karya berbentuk sinikal ini.



“Permainan warna yang statik kepada hitam dan putih pula menggambarkan keceriaan bayi suatu ketika dulu yang kini semakin hilang kerana kerakusan manusia yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.



Selain itu, pelukis muda yang juga peminat setia Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ahmad Farihan Mawardi, pula tampil dengan lukisan potret seniman besar itu yang berjudul Tunggu Sekejap dengan menggunakan media akrilik di atas kanvas.



“Tunggu Sekejap yang juga dipetik daripada lagu nyanyian seniman serba boleh ini, membawa masyarakat berfikir sejenak kesengsaraan dan kepahitan dilalui P Ramlee.



“Ia menyorot kehidupan P Ramlee di sebalik kemasyhurannya sehingga dipuja dan disanjung selama menceburi dunia seni,” katanya.



Antara pelukis muda lain yang turut mengambil bahagian dalam pameran yang berakhir 31 Januari ini, ialah Annisa Abdullah, Mohd Khairul Izham, Syahrul Nizam, Faiz Yunus, Akhmal Asyraf, Intan Rafizah dan Raiha Shahanaz.



Karya mereka dipamerkan bersama-sama lukisan Sophia Halim, Mohd Khairudin Zainudin, Hafidz Syabri, Aman Hakim, Mohd Shahrizan, Ahmad Syakhir, Fathullah, Illa Idris dan Nasrim Fahmi.


INFOYoung Art ExhibitionLokasi: RA Fine Arts Gallery, Unit A4-1-3A, Block A4, Solaris Dutamas, Kuala LumpurTelefon: 03-6211 1061Laman web: www.ra-finearts.blogspot.com
                                                                           Tarikh: Sehingga 31 Januari 2012


No comments:

Post a Comment