Friday, May 17, 2013

Jemputan - Majlis Peluncuran Buku Terbitan R A / SuaraSuara



R A Fine Arts melalui imprint SuaraSuara telah menerbitkan tiga buah buku baru, tontonfilem, Landskap Kembara : Perjalanan Rencam Seniman dan Travelscapes : Alternative Journeys.

Buku tontonfilem hasil tulisan Fadli al-Akiti bermula dengan sebuah blog yang menggunakan nama yang sama. Fadli menggabungkan elemen berat dan santai dalam setiap ulasan filem yang dipaparkan di dalam buku ini.

Buku Landskap Kembara:Perjalanan Rencam Seniman menampilkan gabungan penulis generasi baru dan mapan dalam memperihalkan kembara. Ia bukan semata bersifat perjalanan fizikal tapi lebih kepada pengalaman melihat, merenung, dan berfikir semasa menanggapi suasana dimana mereka berada. Penulis-penulis muda seperti Intan Rafiza, M.F. Nasution, Masnoor Ramli Mahmud, Ameruddin Ahmad, Tabosha Maddijee dan lain-lain bergabung dengan penulis-penulis mapan seperti Siti Zainon Ismail, Nisah Haron dan Rahimidin Zahari menceritakan kisah perjalanan mereka merangkumi negara-negara Indonesia, Cuba, Afghanistan, Afrika Selatan dan Filipina.

Buku Travelscapes : Alternative Journeys merupakan salah satu usaha SuaraSuara untuk memperbanyakkan bacaan bahasa Inggeris yang berkualiti dan bermanfaat. Buku ini menampilkan penulis-penulis seperti Sheridan Mahavera, Anuar Yusof, Ted Mahsun, Raja Nadia Sabrina dan lain-lain. Pengembaraan mereka bukan sahaja melibatkan landskap fizikal semata-mata bahkan menampilkan landskap mistik dan fiksyen selain penceritaan semula dengan gaya kontemporari tentang suasana sebuah dusun durian di Jeram, Perak. Buku ini turut mengandungi sebuah pengembaraan sejarah, Majapahit oleh Zulkifli Mohamad.

Majlis peluncuran akan diadakan di Galeri R A Fine Arts pada 11 Mei 2013 jam 3 petang dengan pelakon, hos rancangan Semangat Intelek Swadaya (SIS), Diana Amir sebagai perasmi jemputan.

No comments:

Post a Comment